Thursday 15 March 2012

Cerpen #2: Kehidupan


Muhamad Khairul Hamzah, seorang anak muda yang tinggal di Kuala Lumpur, Malaysia. Usianya mencecah 19 tahun seminggu lepas. Hamzah baru saja menghabiskan pelajarannya dalam pra-universiti di INTEC, UiTM Shah Alam dan bakal menyambung pelajarannya ke sebuah universiti terkemuka di Australia. Walaupun sudah berusia remaja, perangai Hamzah tidak ubah seperti seorang anak kecil apabila dia berada di rumah. Mana tidaknya, dia merupakan anak bongsu dari 3 orang adik-beradik, dan merupakan anak yang paling dimanjakan oleh kedua ibu bapa sewaktu dirinya kecil.

Keluarga Hamzah adalah dari golongan yang berkemampuan. Oleh itu, Hamzah tidak pernah sama sekali merasa susah atau berada dalam kesempitan hidup, tambah pula dia tinggal di sebuah bandar yang aman damai seperti Kuala Lumpur.

“Ding-dong!”, kedengaran bunyi loceng rumah ditekan.

“Hamzah, tolong tengok siapa yang datang tu!”, jerit Puan Halimah, ibu kepada Hamzah yang sedang sibuk memasak di dapur.

“ibu ni, orang baru je nak berehat.” Hamzah bermonolog sendirian.

“baik ibu!”, jerit Hamzah semula kepada ibunya.

Pintu rumah dbuka oleh Hamzah. Kelihatan seorang yang berkopiah putih, berumur dalam lingkungan 20-an sedang berada di hadapan pagar rumah.

“Ya Abang, cari siapa?”, tanya Hamzah kepada orang itu.

“Assalamu’alaikum saudara. Saya dari persatuan Selamatkan Palestin ingin mengumpul dana untuk disalurkan kepada rakyat Palestin yang memerlukan pertolongan dari segi kewangan. Diharap supaya saudara dapat menderma berapa jua nilai, dengan ikhlas untuk membantu saudara se-Islam kita di sana.”, jawab orang itu sambil melontarkan senyuman mesra.

“Maaf abang, ibu dan ayah saya tiada di rumah. Saya pula tidak berduit sekarang ini, lain kali jika abang datang lagi, saya akan derma.”, balas Hamzah, juga dengan melontarkan senyuman sinis. 

Dia sememangnya malas hendak melayan kerenah orang yang meminta-minta, dalam benak fikirannya sudah ada perasaan skeptikal kepada peminta derma ini. Sesiapa saja yang datang meminta bantuan, tak kira dengan apa jua alasan dan tujuan pun, dia tidak mahu melayannya, juga tidak mahu memberikan apa-apa. Padanya, semua tujuan dan alasan itu hanya rekaan mereka, dituduhnya mereka hanya ingin menggunakan wang untuk diri mereka sendiri, tanpa Hamzah selidik terlebih dahulu.

“Jika begitu, tidak mengapa lah. Terima kasih ya saudara, Assalamu’alaikum.” Kata peminta derma itu dengan senyuman, namun tidak dibalas oleh Hamzah sebaliknya terus menutup semula pintu rumah dan terus menuju ke bilik tidurnya. Semasa dia hendak menuju ke bilik tidur, ibunya sempat bertanyakan kepadanya akan siapa yang datang.

“Orang tu tersalah rumah, ibu.”

Di dalam bilik tidur, Hamzah membuka radio, dan berkumandang sebuah lagu yang bait-bait liriknya lebih kurang begini,

Aku ingin hidup secerah mentari,
Yang menyinar dikamar hatiku.

Aku ingin seriang kicauan burung,
Yang terdengar di jendela kehidupan.

Aku ingin segala-galanya damai,
Penuh mesra, membuah ceria.

Aku ingin menghapus duka dan lara,
Mengubat rindu di dalam dada.

Sedamai pantai yang memutih,
Sebersih titisan embunan pagi,
Dan ukhuwah ini pasti berputik,
Menghiasi taman kasih yang harmoni,

Seharum kasturi, seindah pelangi,
Segalanya bermula di hati.


***********


Hamza Ali Al Khateeb, seorang remaja berusia 13 tahun, berasal dari Syria. Dia dan keluarga tinggal di sebuah desa yang dikenali sebagai Al-Jeezah atau Al-Giza di kawasan pentadbiran Daraa. Hamza amat gemar berenang dan membela burung merpati  di atas atap rumahnya. Burung merpati yang menjadi lambang keadilan sejagat amat disukainya, selari dengan hati luhurnya yang sangat mulia, kerana dia tidak dapat melihat orang hidup susah dan ditindas. Apabila dia terjumpa dengan seorang peminta sedekah, dia merasa amat sedih sehingga menitis air mata, kerana tidak dapat menahan kesedihan melihat peminta sedekah yang tidak punya apa-apa selain nyawa dan badan. Lalu, dia seringkali meminta wang dari ibu bapanya, untuk diberikan kepada mana-mana peminta sedekah yang ditemuinya, tidak kira dari anutan mana sekalipun.

Pernah suatu ketika, dia meminta wang sebanyak 100 Pound Syria (bersamaan RM6) untuk diberikan kepada orang miskin, namun keluarganya enggan kerana ia dianggap terlalu banyak untuk disedekahkan.

“Hamza, 100 Pound Syria sangat banyak. Keluarga kita bukan dari yang kaya-raya.” Ujar ibunya.

Akan tetapi, Hamza membalas kata-kata ibunya itu dengan berkata,

“Ibu, saya masih mempunyai tempat tidur dan makanan, tetapi lelaki ini (orang miskin) tidak mempunyai apa-apa.”, lalu memujuk ibubapanya supaya tetap memberikan kepada lelaki itu 100 Pound Syria.

Akibat terdengar kata-kata itu dari seorang budak belasan tahun, yakni anak mereka sendiri, ibu bapa kepada Hamza merasa sangat tersentuh lalu memberikan wang seperti yang diminta oleh Hamza.

Kehidupannya tidak seperti Hamzah di Malaysia. Setiap hari, ada saja kedengaran pihak memprotes kerajaan Syria, kerana kerajaan telah membunuh ramai orang yang tidak sehaluan dengan mereka. Semua rakyat dipaksa untuk akur dan patuh serta takut kepada kerajaan, sesiapa yang mengingkari arahan mereka akan dibunuh. Oleh yang demikian, semakin ramai rakyat Syria yang berpaling tadah dari kerajaan lalu mengadakan protes atau tunjuk perasaan, terutamanya di tengah Bandar Daraa. Maka, tercetusnya satu pentempuran di sana, lalu kerajaan memutuskan bekalan makanan ke Bandar Daraa. Hamza seorang yang tidak berminat dengan politik namun dek kerana sikapnya yang mahukan keadilan dan kasihankan orang yang ditindas, dia turut bersama dengan keluarganya untuk menghantar bekalan makanan kepada yang memerlukan di Bandar Daraa.
Namun dia dan beberapa orang lagi pemuda Syria telah ditangkap sewaktu hendak menghantar makanan dan roti kepada penduduk di Bandar Daraa. Dia dituduh pembelot kepada kerajaan Syria, lalu dibunuh dengan kejam oleh tentera Syria.  Dilaporkan, semasa pihak tentera Syria mengembalikan mayat Hamza, pihak keluarganya mendapati mayatnya berada dalam keadaan sangat menyayatkan hati.


**********


Kedua-dua sosok individu yang mempunyai sebutan nama yang sama, tetapi jika dilihat dari sudut keadaan sekeliling mereka, adalah berbeza. Hamzah, seorang anak muda berusia 19 tahun yang hidup dalam keadaan yang aman makmur, dan masih hidup sehingga ke hari ini, manakala Hamza, seorang remaja yang berusia 13 tahun, hidup dalam keadaan penuh pemberontakan dan kezaliman, telah dibunuh dengan kejam oleh tentera zalim, semata-mata ingin menegakkan keadilan.

Hamzah hidup dalam keadaan aman, namun dirinya seperti hanyut dan malas hendak melakukan apa-apa untuk keadilan, mahupun agama. Dirinya seperti tidak mensyukuri nikmat keselesaan hidup yang diberikan oleh Allah. Hamza, seorang budak dari keluarga yang tidak kaya, namun tetap mempunyai rasa kasihan dengan orang yang lebih miskin darinya sehingga sanggup memujuk ibu bapanya supaya memberikan wang kepada fakir miskin, walaupun dia sedar jumlah wang itu agak banyak untuk disedekahkan.



Kehidupan yang aman dan tenteram amat dituntut dalam Islam, namun adakah ia mengajar kita supaya lebih dekat denganNya? Adakah kita pernah bersyukur akan kehidupan aman yang diberikan Allah dengan setidak-tidaknya menyalurkan bantuan kepada yang memerlukan?

Penulis meninggalkan pembaca dengan dua persoalan ini supaya sama-sama mencari jawapannya, kerana ia terletak pada individu sendiri.

Seharum kasturi, seindah pelangi,
Segalanya bermula di hati.


**artikel ini ditulis untuk menyokong 'Global March for Syria'.**





No comments:

Post a Comment