Thursday 15 March 2012

cerpen #1: istiqamah

"ibu, Azam nak keluar ke padang!" , teriak Azam kepada ibunya, Puan Zahra yang sedang menguruskan hal dapur.

Hari ini musim cuti sekolah, keluarga Azam kebiasaannya hanya berehat di rumah pada hari cuti, tidak seperti jiran mereka yang lain. Ada yang balik ke kampung halaman, ada yang keluar berjalan-jalan seisi keluarga, sibuk menghadiri kenduri-kendara, malah ada juga yang melancong ke luar negara. Makanya, dek kerana bosan berada di rumah, Azam seringkali keluar bermain dengan rakan-rakannya di padang berdekatan apabila tibanya musim cuti sekolah.

"baik-baik main, jangan kotorkan baju!", balas Puan Zahra kepada Azam.

Azam tidak membalas teriakkan ibunya, sebaliknya dia terus berlalu pergi tanpa sebarang kata. Mindanya telah pun berada di padang. Sambil memegang bola, dia berlalu dengan menunggang basikal miliknya, pemberian dari ayahnya. Azam amat lincah bermain bola sepak. Mana tidaknya, minatnya kepada sukan bola sepak adalah sangat tinggi sejak dari bangku sekolah rendah lagi, semasa berumur 8 tahun. Kini dia sudah berumur 15 tahun, dan sudah beberapa kali mewakili sekolah dalam sukan bola sepak dari peringkat rendah hingga menengah. Di sekolah, Azam seringkali menjadi topik perbualan oleh kalangan pelajar perempuan kerana kelincahannya bermain bola sepak, serta memiliki raut wajah yang sedap mata memandang. Namun hatinya sedikit pun tidak merasa bangga dengan bualan itu kerana padanya, kepuasan hatinya sendiri yang penting, bukan kerana ingin menjadi topik bualan orang ramai.

"Assalamu'alaikum, adik.", seseorang yang tidak dikenali tiba-tiba menyapa sewaktu Azam memberhentikan basikalnya kerana ingin melintas jalan.

"Wa'alaikumussalam.", jawab Azam dengan penuh nada sopan walaupun sedikit terkejut dengan sapaan yang secara tiba-tiba itu.

"Adik apa khabar?", tanya orang yang tidak dikenali itu kepada Azam. Azam tidak menjawab pertanyaan itu, sebaliknya dia memandang orang itu dari bawah hingga atas.

Dia seorang lelaki, berpakaian seperti baru pulang dari masjid, berlagak seperti seorang kiyai, berwajah sawo matang dan berbadan sedikit gempal. Melihatkan kepada wajahnya, seolah-olah dia sudah pun berkahwin dan berumur dalam lingkungan 30-an. Seusai memandang lelaki itu sepenuhnya, baru lah Azam menjawab,

"khabar baik, pakcik."
"err.. ada apa pakcik?" tanya Azam sambil melontarkan senyuman.

Lelaki tersebut hanya memandang Azam dan tersenyum, lalu berkata, "adik ingin bermain bola ye? boleh pakcik ikut tak?", bingkas lelaki itu meminta izin sambil melihat kepada bola yang dipegang oleh Azam. Melihatkan kepada pakaian lelaki tersebut, Azam merasa sedikit hairan lalu bertanya,

"Pakcik nak ikut bermain sama-sama kah? tapi pakaian pakcik tidak sesuai untuk bermain bola. Pakcik perlu memakai pakaian yang sesuai untuk ikut saya bermain bola sepak.", ujar Azam mempertikaikan mengenai pakaian lelaki tersebut yang berbaju melayu, berkain pelikat serta memakai sepatu.

"oh tidak, pakcik hanya ingin melihat kamu bermain", balas lelaki tersebut sambil tertawa kecil, kerana lucu kepada pertanyaan Azam berkenaan pakaiannya yang hendak dibuat bermain bola sepak.

"oh boleh saja, pakcik.", tegas Azam membenarkan lelaki itu mengikutnya ke padang. Azam tampak selesa dengan lelaki tersebut meskipun mereka belum pernah mengenali antara satu dengan yang lain pada sebelumnya.

sambil berjalan ke padang bermain, mereka sempat berbual. Azam menuntun basikal yang ditungganginya kerana ingin seiring berjalan dengan lelaki itu.

"apa nama adik?", soal lelaki tersebut. "Azam, pakcik.", jawab Azam.

"Nama pakcik Yusof", ujar lelaki itu memperkenalkan diri. Azam hanya mengangguk tanda mendengar. Mereka meneruskan perbualan dengan saling bertanyakan berkenaan diri masing-masing.

"Azam pernah dengar berkenaan istiqamah tak?" soal Yusof tiba-tiba. Azam diam sebentar, mengambil masa untuk berfikir akan jawapan kepada persoalan itu.

"pernah belajar dari sekolah. Istiqamah itu adalah berterusan melakukan sesuatu.", Azam memberi jawapan ringkas.

"bijak, Azam. Pernah tak Azam melakukan sesuatu dengan istiqamah, yakni berterusan melakukan sesuatu sehingga dapat sesuatu itu dengan jayanya?", tanya Yusof lagi, kali ini lebih spesifik soalannya.

Azam hanya mendiamkan diri, jelas sekali dia tidak bersedia untuk menjawab soalan seperti itu, walaupun mungkin dia sebenarnya pernah melakukannya, namun tanpa disedarinya. Apabila dirinya diam, disangkakan Yusof akan tidak meneruskan dengan persoalan itu, namun sangkaannya meleset.

"Pakcik tidak minta Azam fikirkan mengenai persoalan pakcik, sambil Azam bermain bola, Azam boleh fikir jawapannya, tapi itu terpulang, jika tidak mahu fikir pun, tidak mengapa. Pakcik tidak akan bertanyakan semula kepada Azam. Namun jika Azam memilih untuk berfikir dan temui jawapan, Azam boleh membuat keputusan sendiri selepas itu, sama ada Azam ingin simpan dalam hati Azam sendiri, atau ingin berkongsi jawapan itu dengan pakcik."


********************


Apakah yang dimaksudkan dengan Istiqamah? Adakah wujud sifat Istiqamah pada perilaku manusia dalam kehidupan seharian? Bagaimanakah Istiqamah itu menjamin kesejahteraan hidup seorang insan?

Jawapan-jawapan kepada tiga persoalan ini ada pada kehidupan Azam yang telah penulis coretkan.

Menjadi idaman setiap seorang Muslim untuk mengecapi kecemerlangan hidup bukan sahaja di dunia malah di akhirat. Namun, untuk memperolehnya seseorang itu hendaklah terlebih dahulu berusaha keras meningkatkan keimanan dan keyakinan walau apapun dugaan atau halangan yang datang. Istiqamah adalah ciri yang harus ada pada manusia untuk mempunyai sikap berusaha keras yang dimaksudkan.

Berbalik kepada kisah Azam, kita dapat melihat unsur istiqamah apabila dia sangat berminat dalam bidang bola sepak, dimana dia telah berusaha memenuhi minatnya itu dengan menyertai beberapa pertandingan pada peringkat rendah mahupun menengah. Bahkan, terdapat beberapa dugaan yang datang antaranya adalah dari dalam dirinya sendiri iaitu memilih untuk memenuhi kehendak diri yang begitu minat dalam sukan bola sepak atau hanya menjadi satu sosok individu yang dipandang tinggi serta menjadi bualan oleh rakan-rakan pelajar yang lain terhadap dirinya. Konflik dalam diri yang dialamai oleh Azam dapat dipatahkan menerusi sikap rendah hati Azam apabila dia tidak mendabik dada merasa bangga dengan pencapaiannya. Sebaliknya Azam terus istiqamah melatih diri bermain bola sepak dengan niat untuk kemajuan dirinya, bukan untuk orang lain. Ini kerana perasaan bangga diri adalah satu penyakit yang sangat bahaya dan mampu melenyapkan harapan untuk mencapai sesuatu yang diingini secara istiqamah.

Hal ini adalah sama implikasinya dalam agama, dimana sebagai seorang Muslim, kita harus mempunyai sifat istiqamah dalam diri untuk memperjuangkan agama Islam, walaupun dalamnya terdapat halangan yang menimpa seperti konflik dengan agama lain, konflik dengan perbezaan pendapat dalam pembawakan agama Islam sendiri dan sebagainya. Sesungguhnya, dalam agama, orang yang mengaku dirinya beriman juga tetap diuji oleh Allah untuk mengukur sejauh mana kekentalan iman di dadanya, Dari situ, kita hendaklah beristiqamah dengan rendah hati.

Dalam firman Allah yang bermaksud, "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan: "kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami menguji orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia yang mengetahui orang yang dusta." (Surah al-Ankabut, ayat 2-3).

Namun, istiqamah juga harus kena pada tempatnya, yakni berterusan melakukan sesuatu yang baik dengan cara yang baik, bukan berterusan melakukan sesuatu yang sebaliknya. Berbalik kepada kisah Azam, apabila dia sudah istiqamah dengan minatnya bermain bola sepak, dia yakin bahawa jika ingin bermain bola sepak, seseorang itu harus mengenakan pakaian yang sesuai untuk bermain bola sepak. Oleh sebab itu dia berani menegur Yusof berkenaan pemakaian apabila dia bersangka Yusof ingin mengikutnya bermain bola sepak. Walaupun pakaian Yusof adalah baik dari segi menutup aurat, namun pakaian itu tidak sesuai untuk bermain bola sepak kerana dia hanya memakai kain pelikat dan sepatu, bukannya kasut dan seluar sukan.

Seperti Firman Allah yang bermaksud: "Oleh yang demikian, maka ajaklah (mereka) dan berdirilah dengan lurus sebagaimana engkau diperintahkan, dan janganlah engkau turut hawa nafsu" (Surah as-Syura, ayat 15).

Dalam isu agama, istiqamah berjuang dalam Islam harus kena pada tempatnya, bukannya dengan hanya melulu melaksanakan sesuatu walaupun ianya selari dengan Islam. Ini kerana, bukan semua manusia menerima pembawaan 'straightforward' berkenaan Islam, apabila melihat kepada realiti bahawa dunia ini terdapat pelbagai jenis anutan atau pegangan manusia selain dari Islam. Oleh itu, jika ingin istiqamah berdakwah supaya seseorang itu memahami Islam dengan hatinya yang terbuka (bukan secara paksa), kita harus menyelami penerimaan seseorang itu terlebih dahulu, dan ianya masih dibawah tuntutan syarak (seperti memakai pakaian sukan untuk bermain bola sepak, namun aurat masih harus dijaga).


******************** 


Selesai bermain bola sepak bersama rakan, Azam terus menerpa ke arah Yusof yang dari tadi melihatnya bermain, lalu bertanyakan kepada Yusof berkenaan istiqamah yang sebenar, dan apakah contoh istiqamah dalam hidup. Yusof dengan bijak menerangkan kepada Azam akan erti istiqamah dalam tuntutan Islam dengan mengaitkan contoh kehidupan seharian Azam berkenaan istiqamah.













No comments:

Post a Comment